#FITNAH -Cikiffah
“FITNAH itu besar (dahsyat) daripada melakukan pembunuhan.” - (Surah al-Baqarah ayat 217). Tafsiran ayat al-Quran pada surah berkenaan jelas memberi maksud kepada kita khususnya orang Muslim bahawa dosa ke atas seseorang melakukan fitnah bukan suatu perkara yang boleh dikompromi.

Budaya fitnah bukanlah satu penyakit baharu, malah wujud sejak berkurun lamanya. Ketika zaman pemerintahan Rasulullah SAW, isteri baginda dituduh melakukan perbuatan keji dengan Safwan bin al-Maa’thal pada tahun kelima Hijrah.
Penyebaran fitnah didalangi Abdullah bin Ubai itu telah menggemparkan masyarakat Madinah ketika itu menyebabkan Saidatina Aishah r.a jatuh sakit selama sebulan.
.
Walaupun masyarakat seringkali diingatkan melalui pelbagai siri ceramah ataupun kuliah agama tentang bahaya dan dosa melakukan fitnah, namun pesanan para agamawan itu seolah-olah mencurahkan air ke atas daun keladi.
Amalan fitnah yang dibandingkan dosanya lebih berat daripada membunuh bagaikan tidak memberi erti. Mereka hanyut dengan gejala penyebaran berita palsu itu dan seakan-akan puas apabila fitnah yang dicetuskan itu tersebar luas dalam kalangan masyarakat.
.
Jika zaman sebelum ini khabar berbaur fitnah tidak mudah disebarkan kepada orang kedua, ketiga dan seterusnya, namun dengan munculnya pelbagai platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan Telegram telah menjadikan penyakit fitnah ini semakin kritikal hingga sukar dibendung.
.
Walaupun Malaysia telah mengambil langkah proaktif sejak sekian lama dengan memperkenalkan Akta Fitnah 1957 untuk membolehkan tindakan diambil terhadap si pemfitnah termasuk penjara ataupun saman ganti rugi, namun ia seolah-olah tidak menghalang segelintir individu yang mempunyai pengaruh dan kekayaan berhadapan dengan sebarang bentuk hukuman.
.
Mereka ini melempar fitnah kemudian didakwa dan dijatuhkan hukuman dan seterusnya membayar denda kemudiannya mengulangi kembali perbuatan keji tersebut. Matlamat mereka hanya mahu mencalarkan imej musuh dan fitnah dijadikan senjata utama.
.
.
0 commest[s]